Sunday 12 February 2012

Nilai seni tingkap "teratak warisan"

             Terdapat pelbagai variasi tingkap rumah Melayu Melaka mengikut citarasa dan kepandaian tukang-tukang rumah dahulu. Namun begitu rumah "teratak warisan" En.Shaharizan mempunyai keistimewaan tersendiri, iaitu gabungan kaca dan kayu.Tingkapnya adalah terdiri daripada jenis yang bukaannya ke luar dan mempunyai kayu kekisi di bahagian bawah tingkap sebagai peredaran udara keluar dan masuk dan juga berfungsi sebagai palang keselamatan bagi anak-anak kecil. Selain itu bahagian tingkap juga tidak terlepas dari hasil kerja tangan yang halus dengan adanya ukiran-ukiran dari jenis tebuk timbul yang mempunyai motif flora dan geometri yang pelbagai.





Pandangan dari tepi.

Keunikan senibina tangga "Teratak Warisan" En.Shahrizan

 Salam 1 Malaysia.....

            Tangga rumah tradisional Melaka semangnya terkenal dengan ciri binaannya yang diperbuat daripada batuan konkrit. Keunikan tangga "Teratak Warisan" adalah daripada seni binaan dan struktur tangganya yang bercirikan senibina dari negara China dengan dihiasi jubin-jubin yang bewarna yang diimport dari Eropah seperti Holland dan Jepun. Menurut pewaris "teratak Warisan" jubin-jubin tangga yang diletakkan pada tangga adalah jubin yang asli dan dipercayai mempunyai ketebalan satu inci. Selain itu penggunaan jubin-jubin yang bewarna-warni ini menampakkan pertembungan budaya melayu, Cina dan Eropah, dan ciri-ciri inilah yang menjadi identiti utama senibina rumah melayu Melaka. Pelbagai variasi tangga yang wujud dalam senibina ini dengan sentuhan tukang-tukang rumah yang mahir pada zaman tradisi. Tangga juga melambangkan status penghuninya suatu masa dahulu. Selain itu ianya juga turut melambangkan sesuatu kaum itu sendiri.


Gambar rajah di atas menunjukkan tangga yang dimaksudkan.

Selain itu tangga juga merupakan elemen yang amat penting didalam senibina rumah tradisional Melayu Melaka. Ini membuktikan bahawa masyarakat Melayu Melaka amat menitikberatkan tentang ciri-ciri senibina warisan agung yang diwari.


Generasi rumah tradisional "Teratak Warisan" En.Shahrizan


Salam 1 Malaysia.....

           Kelahiran "Teratak Warisan" bermula daripada Puan Putih Long dan suaminya En.Saadom Baba.  Mereka merupakan generasi pertama yang menghuni dan membina "Teratak Warisan" dimana secara tidak langsung, mereka juga merupakan pemilik asal yang memiliki rumah "Teratak Warisan".Mengimbau salasilah keluarga Allahyarhamah Putih Long, beliau mempunyai sebuah keluarga besar yang terdiri daripada 6 orang anak , 22 orang cucu, dan 19 orang cicit. Ini secara tidak langsung telah membuktikan bahawa keluarganya memiliki generasi yang besar yang mampu meneruskan atau mewarisi peninggalan warisan agung turun temurun yang telah dibina dan diamanahkan oleh Putih Long dan suaminya En.Saadom Baba iaitu 'Teratak Warisan' .

Gambarajah dibawah merupakan gambar generasi pertama dan ketiga yang berda didalam koleksi kami:


Generasi Pertama: Putih Long                                                  Generasi Ketiga: Abd Jalil


Gambar rajah di bawah menunjukkan salasilah yang masih berada di dalam catatan keluarga En.Shahrizan yang bermula daripada Puan Putih Long:


Berdasarkan salasilah tersebut, tercatatnya kisah kesinambungan generasi ke generasi daripada masa dahulu sehingalah ke hari ini.





Monday 30 January 2012

Pengenalan Rumah Warisan Melayu Melaka ( Shaharizan Abd Jalil )

Salam satu Malaysia.....

         Di awal pengenalan blog ini kami ingin memperkenalkan salah sebuah rumah warisan melayu Melaka yang telah diwarisi oleh En. Shaharizan Abd Jalil. Rumah ini juga turut dikenali dengan nama "Teratak Warisan" . Keunikan rumah ini adalah ia merupakan senibina Melayu Melaka asli yang telah terbina selama seabad dan telah diwarisi oleh En. Shahrizan semenjak empat generasi lamanya. Selain itu rumah beliau juga mempunyai gabungan senibina yang unik serta menjanjikan element-element asli yang dipengaruhi oleh budaya-budaya Melayu. Fungsi ruang, nilai estika pada ciri binaan dan motif ukiran adalah lambang yang mencerminkan jatidiri masyarakat Melayu tradisi yang mementingkan kerja tangan serta seni ukiran halus yang menitikberatkan seni ukiran dan senibina. Selain itu, sebagai lambang sejarah dan menjadi warisan yang  sangat-sangat bermakna di bumi Melaka, rumah-rumah tradisional Melaka masih dipelihara dengan baik  hasil usaha banyak pihak terutamanya Kerajaan Negeri Melaka dan salah satunya adalah "Teratak Warisan" ini sendiri.


Pandangan hadapan rumah: En.Shahrizan